Malaysia
Terima suapan lebih RM800,000 2 Pegawai Tinggi PDRM Ditahan Termasuk 1 Penjawat Awam
MALAYSIA: PETALING JAYA: Dua pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan Inspektor bersama seorang penjawat awam ditahan, semalam, disyaki terbabit kes suapan berjumlah RM800,000.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata ASP berusia 38 tahun dan Inspektor berumur 34 tahun itu bertugas bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Beliau berkata, seorang lagi suspek berusia 49 tahun pula bekerja di mahkamah, di sini.
Katanya, ketiga-tiga individu itu disyaki terbabit kes sogokan bagi menyelesaikan kes membabitkan sindiket yang melaksana dan menyelenggarakan aplikasi perjuudiian dalam talian.
“Mereka ditahan susulan penangkapan pemilik syarikat membuat aplikasi perjudian dalam talian bersama 35 pekerjanya pada 2 Oktober lalu.
“Pemilik syarikat itu telah dibawa ke sebuah balai polis di sini, jam 6 petang 4 Oktober lalu, untuk bertemu pegawai penyiasat kanan berusia 38 tahun.
“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 34 tahun didakwa mengaku diri sebagai orang tengah kepada pemilik syarikat itu.
“Lelaki itu juga dikatakan mendakwa boleh menyelesaikan semua kes sedang disiasat terhadap pemilik dan pekerja syarikat berkenaan, selain membatalkan reman.
“Dua lelaki itu juga didakwa berjanji untuk memulangkan barangan rampasan. Wang yang didakwa diminta untuk berbuat demikian ialah sebanyak RM800,000,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee memaklumkan, semua perbualan, termasuk tawaran wang berkenaan, disyaki berlaku di hadapan ASP terbabit di sebuah bilik di balai polis itu.
“Lelaki itu turut disyaki menghubungi pakar juudii supaya laporan pakar juudii dikeluarkan adalah negatif yang menyebabkan kes ditutup.
“Selepas itu, pegawai terbabit didakwa menghubungi ‘majistret’ untuk datang ke balai polis berkenaan.
“Kira-kira 10 minit kemudian, seorang lelaki dikatakan ‘majistret’ tiba dan diarah membatalkan sambung reman terhadap semua individu berkaitan,” katanya.
Susulan itu, Nik Ezanee berkata, pemilik syarikat berkenaan dikatakan beranggapan suspek boleh membantu menyelesaikan kes dan bersetuju menyerahkan wang seperti diminta.
“Lelaki itu kemudian dikatakan menghubungi isterinya supaya menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM300,000 dan mengarahkan isteri bersama seorang rakan warga asing menyerahkan wang berkenaan kepada orang tengah.
“Mereka didakwa menyerahkan wang tunai berjumlah 99,000 dolar Singapura (kira-kira RM300,000) kepada orang tengah itu di tempat letak kereta di sebuah restoran segera di daerah ini.
“Selain dua pegawai polis dan penjawat awam berkenaan, kita turut menangkap pasangan suami isteri itu serta rakan mereka, kelmarin,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit, dua jam tangan, tiga pasang kasut, dua rantai kunci dan satu pasport hasil tangkapan semua suspek.
Tiga individu, termasuk pemilik syarikat itu, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis sedang mendapatkan permohonan reman terhadap dua pegawai polis dan seorang penjawat awam terbabit bagi membantu siasatan lanjut.
SPRM tahan dua pegawai polis kes juudii, Macau Scam
Pada 7 oktober yang lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai polis berhubung sindiket Macau Scam dan juudii dalam talian membabitkan ratusan juta ringgit.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan penahanan itu berkata, SPRM bagaimanapun tidak memaklumkan secara rasmi kepada pasukan keselamatan itu setakat ini.
“Apa yang saya ingin nyatakan di sini, kes ini disiasat SPRM dan untuk tujuan itu, saya mewakili pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membuat apa-apa ulasan mengenainya.
“Ya betul, dua pegawai kita ditahan SPRM, tapi kita juga belum mendapat sebarang perincian rasmi sama ada mereka ditahan atas kes lain atau kes yang sedang disiasat SPRM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenyah Komersial dan pelancaran portal dan aplikasi Semak Mule di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, media mendedahkan dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi beroperasi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihkan’ wang hasil penipuan.
Sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.
Baru-baru ini, SPRM mendapat perintah tahanan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan. – Berita Harian
-
Malaysia4 years ago
Esok sudah “Wajib pakai Mask” atau didenda RM1000, ini 4 golongan tak disaran pakai Mask
-
Malaysia4 years ago
Rasmi: UMNO tarik diri dari Perikatan Nasional, Kekal bersama MN – Zahid
-
Malaysia4 years ago
Kes cov-19 libatkan Kanak-kanak Pra Sekolah – Pengarah Kesihatan Negeri
-
Malaysia4 years ago
Isytihar Zon Merah pertama selepas PKP, Larangan Rentas Daerah
-
Malaysia4 years ago
Terkini: 2 Pelajar sekolah rendah positif Cov-19 kluster Sivagangga
-
Malaysia4 years ago
Kluster cov-19 Bukit Tiram berada di 2 Negeri, 10 Positif
-
Kewangan4 years ago
Terkini Najib didapati Bersalah, Ini Hukuman yang bakal diterimanya
-
Malaysia4 years ago
H1na Rupa Fizikal Dnda sebanyak RM50K dan 1 Tahun Pnjara. Ini Nilai dan Tvntutan Kepada Eira Aziera