Connect with us

Malaysia

Hampir 2 Minggu Jenzah Rabitah akhirnya dikebumikan di Australia

Published

on

MALAYSIA: Sebelum ini ibu kepada Rabitah ada meminta bantuan rakyat Malaysia untuk membawa pulang anaknya ke tanah air. Namun ramai meminta agar anaknya itu dikebumikan di Australia

Jenazah Rabitah Hamed, 49, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Griffith, Australia, pada 8 Februari lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Griffith, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Abang iparnya, Mukhti Mat Jusoh, 58, berkata mereka sekeluarga bersyukur kerana penantian keluarga yang mahu jenazah dikebumikan segera akhirnya tercapai, walaupun terpaksa menunggu selama 10 hari.

Katanya, keluarganya termasuk tiga anak arwah berusia 14 hingga 26 tahun tetap reda dengan apa yang berlaku, walaupun tidak dapat wajah arwah buat kali terakhir.

“Memang kami berharap sangat supaya jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia, namun disebabkan banyak proses yang perlu dilakukan, kami reda arwah dikebumikan di Australia.

“Kami minta rakan arwah di sana, membuat rakaman langsung keadaan di sana ketika pengebumian dilakukan, dapat juga kami melihat di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mukhti berkata, keluarga akan meneruskan majlis tahlil untuk arwah di masjid dan surau di kawasan ini sehingga hari ke-14.

“Saya juga akan menunaikan amanah Allahyarham untuk menjaga ketiga-tiga anaknya (Rushaniena Izani, 26; Ridwana Ardini, 19 dan Rafiq Afif Rusman, 14),” katanya.

Mukhti berkata, mereka sekeluarga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan derma bagi menampung kos pengebumian Rabitah.

Dalam kejadian 8 Februari lalu, Rabitah maut terbabit dalam kemalangan selepas dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas di Griffith, Australia.

Rabitah maut di tempat kejadian akibat terpelanting keluar dari kereta dipandunya yang kemudian terjatuh ke dalam tali air berdekatan.

Keluarga harap dapat bawa pulang jenazah Rabitah

Alor Setar: Keluarga kepada wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam, berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam satu kemalangan di Griffith, Australia bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Anak sulung mangsa, Rushaniena Izani, 26, berkata, ibunya yang juga seorang ibu tunggal, ke Griffith seorang diri pada bulan Februari tahun lalu untuk bekerja di sana.

“Saya dimaklumkan dia bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam. Pada 21 Februari ini genap setahun dia berada di sana. Dia sepatutnya berada di sana selama lima tahun dan akan pulang ke tanah air pada 2024.

“Saya tahu kejadian yang menimpa ibu daripada ibu saudara yang tinggal di Lunas, Kulim. Rakan serumah ibu di sana menghubungi ibu saudara dan memaklumkan kejadian tersebut dan difahamkan kereta yang dipandu ibu terbabas sebelum dia tercampak keluar dari tingkap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Rushaniena berkata, jenazah ibunya kini berada di Hospital Sydney, Australia untuk proses bedah siasat dan dia bersama-sama dua adiknya masing-masing berumur 19 dan 14 tahun berharap jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia.

Menurut Rushaniena, pihak Wisma Putra telah menghubungi ibu saudaranya kira-kira 9.30 pagi hari ini yang bertanyakan sama ada mahu jenazah ibunya dikebumikan di negara berkenaan atau dibawa pulang ke tanah air yang memerlukan kos sekitar RM50,000.

“Buat masa ini, tiada wakil keluarga yang ke sana. Kami sedang mengumpul dana kerana sangat berharap dapat membawa jenazah ibu pulang ke Malaysia untuk dikebumikan di kampung halamannya.

“Kali terakhir kami berhubung dengan ibu sekitar dua, tiga hari lalu dan memang tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh ibu kerana dia bersembang dan gelak seperti biasa,” katanya.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terpadu